Pergi ke kandungan

Yunani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Greece)
Republik Yunani
ريڤوبليك يوناني
Ελληνική Δημοκρατία
Ellinikí Dimokratía
Cogan kata: Ελευθερία ή Θάνατος
Elefthería í Thánatos
“Merdeka atau Mati”
Lagu kebangsaan: Ύμνος εις την Ελευθερίαν
Ýmnos eis tin Eleftherían
“Gita Puji Kebebasan”
Lokasi Yunani di Eropah dan Kesatuan Eropah
Lokasi Yunani (hijau gelap) di Kesatuan Eropah (hijau muda)
Ibu negara
dan bandar terbesar}
Athens
37°58′U 23°43′T / 37.967°U 23.717°T / 37.967; 23.717
Bahasa rasmiBahasa Yunani
DemonimYunani
PemerintahRepublik berparlimen kesatuan
 Presiden
Konstantinos Tasoulas
Kyriakos Mitsotakis
Nikitas Kaklamanis
Badan perundanganParlimen Yunani
Kemerdekaan
 Pemberontakan bermula
1821
 Diiktiraf melalui Protokol London
3 Februari 1830
24 Julai 1974
Keluasan
 Jumlah
131,957 km2 (50,949 bt2)[1]
Populasi
 Perkiraan 2025
10372335
 Bancian penduduk tahun 2021
10482487
78.6/km2 (203.6/sq mi)
KDNK (PPP)2026
 Jumlah
USD488.58 bilion
 Per kapita
USD47,175
KDNK (nominal)2026
 Jumlah
USD307.55 bilion
 Per kapita
USD29,700
Gini (2025)positive decrease 31.6[2]
sederhana
HDI (2023) 0.908[3][4]
sangat tinggi (34)
Mata wangEuro (€) (EUR)
Zon waktuUTC+2 (EET)
 Musim panas (DST)
UTC+3 (EEST)
Kod panggilan+30
Kod ISO 3166GR
DPT internet.gr
.ελ

Yunani (Jawi: يوناني, Yunani: Ελλάδα, rumi: Elláda disebut [eˈlaða]) atau nama rasminya Republik Yunani (Yunani: Ελληνική Δημοκρατία, rumi: Ellinikí Dimokratía) ialah sebuah negara yang terletak di hujung selatan Semenanjung Balkan tenggara benua Eropah. Negara ini bersempadan darat dengan Albania, Makedonia Utara, Bulgaria dan Turki, manakala wilayahnya menghadap Laut Ionia di barat, Laut Mediterranean di selatan dan Laut Aegea di timur. Yunani merangkumi tanah besar bergunung-ganang, semenanjung Peloponnesos dan ribuan pulau-pulau termasuk Kriti, Euboea, Lesbos dan Rodos antara pulau terbesarnya. Athens ibu kotanya, bandar terbesar serta pusat politik dan ekonomi utamanya.

Anggaran rasmi kependudukan negara Yunani setakat 1 Januari 2025 seramai 10,372,335 berbanding 10,482,487 orang yang dicatatkan dalam Banci Penduduk dan Perumahan 2021.[5][6] Sebahagian besar penduduk tertumpu di kawasan metropolitan Athens dan Thessaloniki, sementara banyak kawasan pedalaman dan pulau kecil menghadapi penyusutan serta penuaan penduduk. Bahasa rasmi dan bahasa utama negara ialah bahasa Yunani.

Wilayah Yunani menjadi tempat berkembangnya tamadun Kyklades, Minoa dan Mykenai, sebelum kemunculan negara kota seperti Athens dan Sparta. Tradisi politik, falsafah, sains, kesusasteraan, historiografi, seni bina dan drama Yunani Purba menjadi salah satu asas penting sejarah intelektual Eropah dan Mediterranean. Selepas penaklukan Kerajaan Makedonia di bawah rajanya Alexander Agung, dunia berbahasa Yunani berkembang merentasi rantau Mediterranean timur dan Asia Barat pada zaman Helenistik. Wilayah ini kemudian berada di bawah pemerintahan Rom, menjadi teras penting Empayar Byzantium dan seterusnya dikuasai sebahagian besarnya oleh Empayar Uthmaniyah. Negara Yunani moden muncul daripada Perang Kemerdekaan Yunani, dengan kemerdekaannya diiktiraf pada 1830.[7]

Negara Yunani kini sebuah republik kesatuan berparlimen. Ia menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara pada 1952, Kesatuan Eropah pada 1981, Kawasan Schengen pada 2000 dan zon euro pada 2001.[8][9] Ekonominya berasaskan terutamanya sektor perkhidmatan, dengan pelancongan, perkapalan, perdagangan, kewangan dan perkhidmatan awam memainkan peranan besar, di samping pembuatan dan pertanian. Warisan purba dan Byzantium, tradisi Kristian Ortodoks, kepelbagaian serantau serta kedudukannya antara Balkan dan Mediterranean terus membentuk identiti serta kepentingan antarabangsa negara ini.

Nama "Yunani" berasal daripada bahasa Arab iaitu al-Yunān (الينان; juga dimelayukan sebagai Yunan);[10] kata Arab ini menyerap daripada panggilan orang Parsi untuk puak Ionia (Bahasa Yunani Kuno: Ἰάονες, iāones), salah satu dari kumpulan bangsa Yunani Purba yang menduduki Asia Kecil di pesisiran barat kini dirangkum dalam negara Turki moden.[11][12][13]

Prasejarah dan Zaman Gangsa

[sunting | sunting sumber]
Kuil Parthenon di atas Akropolis Athens
Parthenon di Akropolis Athens, antara monumen utama zaman Yunani Klasik.

Petempatan manusia di wilayah Yunani bermula sejak zaman prasejarah. Menjelang milenium ketiga dan kedua SM, beberapa masyarakat Zaman Gangsa berkembang di kawasan Aegea. Tamadun Kyklades muncul di kepulauan tengah Aegea, tamadun Minoa berpusat di Kriti, manakala tamadun Mykenai berkembang di tanah besar. Pusat-pusat istana seperti Knossos, Mykenai dan Tiryns mengendalikan pengeluaran, perdagangan dan pentadbiran serantau. Tulisan Linear B yang digunakan oleh masyarakat Mykenai merupakan bentuk terawal bahasa Yunani yang diketahui.[14]

Keruntuhan pusat-pusat istana Mykenai sekitar penghujung milenium kedua SM diikuti oleh perubahan penduduk, perdagangan dan organisasi politik. Dalam tempoh berikutnya, masyarakat tempatan membentuk komuniti yang akhirnya berkembang menjadi polis, iaitu negara kota yang mempunyai institusi, undang-undang dan identiti kewarganegaraan tersendiri.

Runtuhan dan pembinaan semula Istana Knossos di Kriti
Knossos di Kriti, pusat utama Tamadun Minoa.

Zaman Arkaik, Klasik dan Helenistik

[sunting | sunting sumber]
Perincian mozek purba yang menggambarkan Alexander Agung menunggang kuda
Mozek Alexander yang menggambarkan Alexander Agung dalam Pertempuran Issus.

Antara abad ke-8 hingga ke-6 SM, negara kota Yunani menubuhkan penempatan dan rangkaian perdagangan di Mediterranean dan Laut Hitam. Athens, Sparta, Kórinthos dan Thebes berkembang sebagai kuasa serantau dengan sistem politik dan masyarakat yang berbeza. Athens membangunkan bentuk demokrasi langsung bagi warga lelaki bebas, sementara Sparta terkenal dengan susunan ketenteraan dan oligarkinya. Puisi Homer, falsafah awal, sejarah, drama dan seni bina monumental berkembang dalam lingkungan kebudayaan ini.[14]

Negara kota Yunani menangkis serangan Empayar Achaemenid dalam Perang Yunani-Persia pada awal abad ke-5 SM. Persaingan antara Athens dan Sparta kemudian memuncak dalam Perang Peloponnesos, yang melemahkan kedua-duanya. Pada abad ke-4 SM, Raja Philip II dari Macedonia menguasai kebanyakan negara kota Yunani. Puteranya, Alexander Agung, menumbangkan Empayar Achaemenid dan membentuk sebuah empayar yang terbentang hingga Mesir dan Asia Tengah.

Selepas kematian Alexander pada 323 SM, empayarnya berpecah kepada beberapa kerajaan. Bahasa dan kebudayaan Yunani tersebar luas dalam dunia Helenistik, khususnya di pusat seperti Alexandria, Antioch dan Pergamon. Perkembangan ini tidak menghapuskan kebudayaan tempatan, sebaliknya mewujudkan pertukaran budaya, agama dan ilmu yang berpanjangan.

Zaman Rom dan Byzantine

[sunting | sunting sumber]
Peta Empayar Byzantine pada tahun 1025
Empayar Byzantine pada 1025. Wilayah Yunani merupakan sebahagian penting dunia Rom Timur selama berabad-abad.

Kuasa Rom menamatkan kebebasan politik utama negara-negara kota Yunani selepas menewaskan Liga Akhaea pada 146 SM, walaupun bahasa, pendidikan dan kesenian Yunani terus berpengaruh dalam dunia Rom. Selepas pentadbiran Empayar Rom beralih semakin kuat ke timur lagi-lagi di Byzantium dijadikan ibu kota pada abad ke-4 Masihi, wilayah Yunani menjadi sebahagian daripada empayar yang kini lazim disebut Empayar Byzantium ditubuhkan di Byzantium yang kemudiannya menjadi Kustantiniyah.

Agama Kristian, bahasa Yunani dan tradisi pentadbiran Rom menjadi unsur utama masyarakat Byzantium. Athens, Thessaloniki, Kórinthos dan pusat-pusat pulau berfungsi sebagai bandar perdagangan, ketenteraan atau keagamaan, sementara biara seperti yang terdapat di Gunung Athos dan Meteora menjadi pusat kerohanian serta pembelajaran. Wilayah Yunani mengalami serangan dan perubahan kuasa oleh masyarakat Slav, Bulgar, Norman, Frank dan Bundukiah pada masa yang berlainan. Selepas Perang Salib Keempat pada 1204, beberapa kerajaan Latin dan Yunani bersaing menguasai kawasan tersebut sebelum sebahagian besar wilayah disatukan semula di bawah kerajaan Byzantium.

Pemerintahan Uthmaniyah dan kemerdekaan

[sunting | sunting sumber]

Penaklukan Uthmaniyah berkembang secara berperingkat dari abad ke-14 hingga ke-17. Sebahagian besar tanah besar dan kepulauan Aegea berada di bawah Empayar Uthmaniyah, sementara Bundukiah mengekalkan atau merebut beberapa wilayah, terutama di Kepulauan Ionia dan Kriti, untuk tempoh tertentu. Gereja Ortodoks, komuniti setempat, saudagar diaspora dan rangkaian pendidikan memainkan peranan dalam mengekalkan kehidupan sosial serta budaya Yunani. Pada abad ke-18 dan awal abad ke-19, perkembangan perdagangan, pendidikan dan gagasan nasionalisme Eropah memperkukuh gerakan kemerdekaan.[14]

Lukisan pejuang dan penduduk keluar dari Messolonghi semasa Perang Kemerdekaan Yunani
Serbuan keluar dari Messolonghi oleh Theodoros Vryzakis, menggambarkan satu peristiwa utama Perang Kemerdekaan Yunani.

Pemberontakan meletus pada 1821 di beberapa wilayah. Peperangan antara pejuang Yunani dan Uthmaniyah turut melibatkan campur tangan Britain, Perancis dan Rusia, yang memusnahkan armada Uthmaniyah-Mesir dalam Pertempuran Navarino pada 1827. Protokol London bertarikh 3 Februari 1830 mengiktiraf Yunani sebagai negara merdeka dan berdaulat.[7] Penyelesaian diplomatik berikutnya pada 1832 menetapkan sempadan serta menubuhkan Kerajaan Yunani di bawah takhta Raja Otto.

Pembentukan dan peluasan negara moden

[sunting | sunting sumber]

Negara baharu pada mulanya merangkumi Peloponnesos, sebahagian Yunani Tengah serta beberapa pulau. Athens dipilih sebagai ibu negara pada 1834. Pemerintahan mutlak Otto digantikan dengan monarki berperlembagaan selepas gerakan 1843, tetapi ketidakstabilan politik dan persaingan kuasa besar terus mempengaruhi negara.

Wilayah Yunani berkembang secara berperingkat melalui penyatuan Kepulauan Ionia pada 1864, perolehan Thessalia pada 1881 serta kemenangan dalam Perang Balkan 1912–1913, yang membawa Makedonia, Epiros, Kriti dan beberapa pulau Aegea ke dalam negara. Persaingan antara Raja Constantine I dan Perdana Menteri Eleftherios Venizelos mengenai penyertaan dalam Perang Dunia Pertama mencetuskan perpecahan politik yang dikenali sebagai Perpecahan Nasional.

Selepas perang, cubaan Yunani menguasai wilayah di Anatolia berakhir dengan kekalahan dalam Perang Yunani-Turki (1919–1922). Perjanjian Lausanne 1923 menetapkan sempadan Yunani-Turki moden dan menyediakan pertukaran penduduk wajib yang besar berasaskan agama, kecuali beberapa komuniti yang dikecualikan. Kedatangan pelarian mengubah demografi, ekonomi dan budaya bandar-bandar Yunani. Monarki dimansuhkan pada 1924, dipulihkan pada 1935, dan pemerintahan autoritarian Ioannis Metaxas bermula pada 1936.[15]

Perang Dunia Kedua, perang saudara dan pemerintahan tentera

[sunting | sunting sumber]

Yunani menolak ultimatum Itali pada Oktober 1940 dan berjaya menolak tentera Itali ke Albania, tetapi diserang serta diduduki oleh Jerman dan sekutunya pada 1941. Pendudukan membawa kebuluran, penindasan, kemusnahan ekonomi dan pembunuhan sebahagian besar masyarakat Yahudi Yunani. Beberapa gerakan penentangan bersenjata muncul, namun pertentangan ideologi dalam kalangannya berterusan selepas pembebasan pada 1944.

Perang Saudara Yunani antara kerajaan yang disokong Barat dan gerila pimpinan komunis berakhir pada 1949 dengan kemenangan kerajaan. Perang ini menjadi salah satu konflik awal Perang Dingin dan mendorong Amerika Syarikat mengumumkan Doktrin Truman pada 1947 bagi membantu Yunani dan Turki.[16] Yunani menyertai NATO pada 1952. Pertumbuhan ekonomi dan pembandaran pesat pada dekad-dekad berikutnya berlaku bersama penghijrahan besar ke Eropah Barat, Amerika Utara dan Australia.

Pada 21 April 1967, sekumpulan pegawai tentera merampas kuasa dan menubuhkan pemerintahan autoritarian. Junta membataskan kebebasan politik, menahan penentang dan memansuhkan monarki pada 1973. Krisis Cyprus pada Julai 1974 membawa kepada keruntuhan pemerintahan tentera dan pemulihan demokrasi di bawah Konstantinos Karamanlis.

Orang ramai berkumpul semasa kebangkitan Politeknik Athens pada tahun 1973
Kebangkitan Politeknik Athens pada 1973 menjadi lambang penentangan terhadap pemerintahan junta.

Republik Ketiga

[sunting | sunting sumber]

Tempoh demokrasi yang bermula pada 24 Julai 1974 dikenali sebagai Metapolitefsi dan melahirkan Republik Yunani Ketiga. Dalam pungutan suara 8 Disember 1974, pengundi menolak pemulihan monarki. Perlembagaan republik mula berkuat kuasa pada 11 Jun 1975 dan kemudian dipinda pada 1986, 2001, 2008 serta 2019.[17]

Yunani menyertai Komuniti Ekonomi Eropah, pendahulu Kesatuan Eropah, pada 1981 dan memasuki kawasan euro pada 2001. Perubahan sosial selepas 1974 merangkumi peluasan pendidikan, peningkatan taraf hidup, pengukuhan negara kebajikan dan pemodenan prasarana. Athens menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2004, yang disertai pelaburan besar dalam pengangkutan dan kemudahan bandar.

Pendedahan defisit fiskal yang jauh lebih besar daripada laporan terdahulu pada 2009 mencetuskan krisis hutang negara. Yunani menerima beberapa program bantuan antarabangsa yang disertai langkah penjimatan, pembaharuan fiskal dan penyusunan semula hutang. Kemelesetan yang panjang meningkatkan pengangguran, mengurangkan pendapatan dan mendorong penghijrahan tenaga mahir. Ekonomi kemudian kembali berkembang, tetapi hutang awam yang tinggi, produktiviti, pelaburan dan penyusutan penduduk kekal sebagai cabaran dasar utama.[18]

Peta topografi Yunani yang menunjukkan tanah besar, gunung dan kepulauan
Peta topografi Yunani.

Rupa bumi dan kepulauan

[sunting | sunting sumber]

Yunani berkeluasan 131,957 km² dan terletak di persilangan Balkan, Aegea dan Mediterranean timur.[1] Tanah besarnya mempunyai garis pantai yang sangat berlekuk, dengan banyak teluk, tanjung dan semenanjung. Banjaran Pindus membentuk tulang belakang pergunungan di bahagian barat dan bersambung dengan sistem gunung Balkan. Titik tertinggi negara ialah Mytikas, puncak utama Gunung Olympus, pada ketinggian 2,918 meter.[19]

Gunung Olympus dilihat dari Litochoro
Gunung Olympus, gunung tertinggi di Yunani, dilihat dari Litochoro.

Pulau dan pulau kecil membentuk bahagian penting wilayah negara. Sumber rasmi menggunakan takrif yang berbeza untuk mengira pulau, pulau kecil dan batuan luar pesisir, tetapi secara umumnya hanya kira-kira dua ratus daripadanya didiami.[20] Kumpulan utama termasuk Kepulauan Ionia, Cyclades, Dodecanese, Sporades, kepulauan Aegea Utara dan Kepulauan Saronik. Kriti ialah pulau terbesar, manakala Euboea dipisahkan daripada tanah besar oleh selat yang sempit.

Rumah bercat putih di Oia di pulau Santorini
Perkampungan Oia di Santorini, salah sebuah pulau di gugusan Cyclades.

Sungai-sungai Yunani umumnya pendek kerana rupa bumi yang bergunung-ganang dan jarak yang dekat ke laut. Sungai Aliakmon merupakan sungai terpanjang yang seluruh alirannya berada dalam negara. Tasik semula jadi dan tanah lembap terdapat terutama di Makedonia, Epiros dan Thrake, sementara lembangan subur seperti Thessalia, Makedonia Tengah dan dataran sekitar Thessaloniki menyokong pertanian serta petempatan yang lebih padat.

Sebahagian besar Yunani mengalami iklim Mediterranean, dengan musim panas yang panas dan kering serta musim sejuk yang sederhana dan lebih lembap. Kawasan pesisir dan pulau lazimnya mempunyai julat suhu yang lebih kecil berbanding pedalaman. Kawasan utara dan tanah tinggi mengalami musim sejuk yang lebih sejuk, manakala gunung tertinggi menerima salji secara berkala. Perbezaan altitud, jarak dari laut dan orientasi banjaran menghasilkan variasi iklim tempatan yang ketara.[21]

Hujan lebih banyak turun di bahagian barat yang menghadap Laut Ionia, sementara Aegea timur dan beberapa pulau selatan lebih kering. Angin utara bermusim yang dikenali sebagai meltemi mempengaruhi cuaca musim panas di Aegea. Gelombang haba, kemarau, hujan lebat, banjir dan kebakaran hutan merupakan bahaya iklim utama, dengan perubahan iklim meningkatkan tekanan terhadap sumber air, ekosistem, kesihatan dan prasarana.[22]

Alam sekitar

[sunting | sunting sumber]

Kepelbagaian rupa bumi, pulau dan zon iklim menghasilkan tahap biodiversiti yang tinggi, termasuk banyak spesies tumbuhan endemik. Hutan, kawasan renek Mediterranean, tanah lembap, padang rumput gunung dan habitat laut dilindungi melalui taman negara, kawasan Natura 2000 serta undang-undang kebangsaan. Gunung Olympus, Prespa, Samaria, Pindus dan Zakynthos merupakan antara kawasan perlindungan yang terkenal.

Tekanan utama terhadap alam sekitar termasuk pembangunan pesisir, kebakaran hutan, pencemaran, penggunaan air bermusim, pengurusan sisa dan kesan pelancongan yang tertumpu. Dasar iklim negara ditetapkan antara lainnya melalui Undang-undang Iklim Kebangsaan 2022, yang menggariskan sasaran pengurangan pelepasan dan neutraliti iklim menjelang 2050.[23]

Politik dan pemerintahan

[sunting | sunting sumber]

Perlembagaan dan institusi

[sunting | sunting sumber]
Bangunan Parlimen Yunani di Dataran Syntagma, Athens
Bangunan Parlimen Yunani di Dataran Syntagma, Athens.

Perlembagaan mentakrifkan Yunani sebagai sebuah republik berparlimen dan menyatakan bahawa kedaulatan rakyat menjadi asas pemerintahan. Kuasa perundangan dilaksanakan oleh Parlimen dan Presiden Republik, kuasa eksekutif oleh Presiden serta Pemerintah, dan fungsi kehakiman oleh mahkamah yang bebas.[17] Dalam amalan politik semasa, perdana menteri dan kabinet menjalankan kuasa eksekutif utama, manakala presiden berperanan terutama sebagai ketua negara berperlembagaan dan perwakilan.[9]

Parlimen Yunani ialah badan ekadewan dengan 300 ahli yang dipilih melalui pilihan raya umum. Presiden Republik dipilih oleh Parlimen untuk tempoh lima tahun. Perdana menteri dilantik oleh presiden daripada pemimpin yang mempunyai sokongan majoriti Parlimen, dan kerajaan bertanggungjawab secara politik kepada Parlimen. Sistem kehakiman merangkumi mahkamah sivil, jenayah dan pentadbiran, dengan Mahkamah Kasasi, Majlis Negara dan Mahkamah Audit sebagai institusi tertinggi dalam bidang masing-masing.

Jawatan perlembagaan utama
Jawatan Penyandang Mula menjawat Kaedah pemilihan atau pelantikan Peranan utama
Presiden Republik Konstantinos Tasoulas[24] 13 Mac 2025 Dipilih oleh Parlimen Ketua negara dan pelaksana kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan
Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis[25] 26 Jun 2023 Dilantik oleh presiden selepas memperoleh sokongan Parlimen Ketua pemerintah dan pengerusi Majlis Menteri
Presiden Parlimen Nikitas Kaklamanis[26] 22 Januari 2025 Dipilih oleh ahli Parlimen Mempengerusikan persidangan dan pentadbiran Parlimen

Pilihan raya dan pentadbiran awam

[sunting | sunting sumber]

Hak mengundi diberikan kepada warganegara yang memenuhi syarat umur menurut undang-undang, dan pilihan raya Parlimen lazimnya diadakan sekurang-kurangnya setiap empat tahun. Sistem pilihan raya menggabungkan perwakilan berkadar dengan bonus kerusi kepada parti yang memperoleh undi terbanyak apabila ambang tertentu dicapai. Dalam pilihan raya 25 Jun 2023, parti Demokrasi Baru memperoleh 158 daripada 300 kerusi dan Kyriakos Mitsotakis kembali sebagai perdana menteri.[27]

Politik selepas 1974 pada mulanya didominasi oleh Demokrasi Baru dan Gerakan Sosialis Panhellenik (PASOK). Krisis hutang mengubah landskap parti, termasuk kebangkitan Syriza dan kemunculan parti-parti baharu di kiri serta kanan. Pentadbiran awam beroperasi melalui kementerian pusat, pihak berkuasa bebas, tujuh pentadbiran terdesentralisasi dan dua peringkat pemerintah tempatan.

Perlembagaan menyatakan bahawa agama Gereja Ortodoks Timur ialah agama utama di Yunani, di samping menjamin kebebasan hati nurani agama dan ibadat yang diketahui.[17] Hubungan antara negara dan gereja kekal penting dalam pendidikan, upacara awam dan perdebatan dasar, tetapi masyarakat Yunani turut merangkumi komuniti Islam, Katolik, Protestan, Yahudi serta kumpulan keagamaan lain.

Hubungan luar dan pertahanan

[sunting | sunting sumber]

Dasar luar Yunani berpusat pada keanggotaannya dalam Kesatuan Eropah dan NATO, hubungannya dengan Balkan, Mediterranean timur serta Timur Tengah, dan jaringan diaspora Yunani. Negara ini turut menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Eropah, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi dan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah. Hubungan dengan Cyprus dan Turki mempunyai kepentingan khas, sementara kerjasama tenaga, keselamatan maritim, migrasi dan sempadan luar EU menjadi agenda serantau utama.

Angkatan Tentera Yunani terdiri daripada tentera darat, tentera laut dan tentera udara. Kedudukan geografi negara, sempadan darat dan kepulauan yang luas menjadikan pertahanan udara serta maritim unsur penting perancangan keselamatan. Yunani menyumbang kepada operasi dan struktur NATO serta misi antarabangsa yang diluluskan pihak pemerintah.

Pembahagian pentadbiran

[sunting | sunting sumber]
Peta 13 wilayah pentadbiran Yunani
Tiga belas wilayah Yunani.

Sejak 1 Januari 2011, susunan pentadbiran yang dibentuk melalui Program Kallikratis membahagikan pemerintah tempatan kepada 13 wilayah sebagai pihak berkuasa peringkat kedua dan 332 perbandaran sebagai pihak berkuasa peringkat pertama. Tujuh pentadbiran terdesentralisasi mewakili pihak pemerintah pusat dan melaksanakan kuasa negara tertentu. Wilayah pula dibahagikan kepada unit wilayah bagi tujuan pentadbiran dalaman.[28]

Wilayah Yunani
Wilayah Pusat pentadbiran Penduduk
(Banci 2021)[29]
Bahagian penduduk negara
Makedonia Timur dan Thrake Komotini 562,201 5.4%
Makedonia Tengah Thessaloniki 1,795,669 17.1%
Makedonia Barat Kozani 254,595 2.4%
Thessalia Larissa 688,255 6.6%
Epiros Ioannina 319,991 3.1%
Kepulauan Ionia Corfu 204,532 2.0%
Yunani Barat Patras 648,220 6.2%
Yunani Tengah Lamia 508,254 4.8%
Peloponnesos Tripoli 539,535 5.1%
Attika Athens 3,814,064 36.4%
Aegea Utara Mytilene 194,943 1.9%
Aegea Selatan Ermoupoli 327,820 3.1%
Kriti Heraklion 624,408 6.0%

Gunung Athos mempunyai taraf pemerintahan sendiri yang khas di bawah kedaulatan Yunani dan tertakluk pada peruntukan Perlembagaan serta tradisi monastik. Athens dan Thessaloniki mempunyai fungsi metropolitan tambahan kerana saiz, kerumitan perkhidmatan dan kepentingan ekonomi masing-masing.[28]

Perkembangan makroekonomi

[sunting | sunting sumber]

Yunani mempunyai ekonomi pasaran maju yang bersepadu dalam pasaran tunggal EU dan kawasan euro. Sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar keluaran serta pekerjaan, diikuti industri dan pembinaan, sementara pertanian mempunyai bahagian yang lebih kecil tetapi penting di beberapa wilayah. Menurut unjuran World Economic Outlook Tabung Kewangan Antarabangsa pada April 2026, KDNK nominal Yunani bagi 2026 dianggarkan sekitar AS$307.55 bilion dan KDNK berasaskan pariti kuasa beli sekitar AS$488.58 bilion.[30]

Krisis hutang pada dekad 2010-an membawa penyusutan ekonomi yang mendalam, pengangguran tinggi dan pembaharuan besar dalam percukaian, pencen, pasaran buruh, pentadbiran awam dan sektor kewangan. Pemulihan kemudian disokong oleh eksport perkhidmatan, pelaburan, pembiayaan EU dan peningkatan kegiatan pelancongan. IMF menganggarkan pertumbuhan sebenar 2.1% pada 2025 dan mengunjurkan 1.8% pada 2026, sambil mengenal pasti hutang awam, produktiviti, kekurangan tenaga kerja dan pendedahan kepada kejutan luaran sebagai risiko jangka sederhana.[18]

HDI Yunani bagi 2023 ialah 0.908, menempatkannya pada kedudukan ke-34 dalam kategori pembangunan manusia sangat tinggi.[3][4] Pekali Gini pendapatan bagi tinjauan 2025 ialah 31.6, turun sedikit daripada tahun sebelumnya.[2] Walaupun petunjuk makroekonomi bertambah baik selepas krisis, perbezaan pendapatan, kos perumahan, pekerjaan belia dan jurang pembangunan antara pusat bandar, tanah besar pedalaman serta pulau kekal sebagai isu dasar.

Sektor utama

[sunting | sunting sumber]

Pembuatan tertumpu pada makanan dan minuman, produk petroleum, kimia dan farmaseutikal, logam, bahan binaan serta peralatan. Pertanian menghasilkan zaitun dan minyak zaitun, buah-buahan, sayur-sayuran, anggur, kapas, bijirin, tembakau serta produk tenusu. Saiz ladang yang kecil, rupa bumi dan kekurangan air mengehadkan pengeluaran di sesetengah kawasan, tetapi produk berpetunjuk geografi dan pemprosesan makanan menyokong eksport bernilai tinggi.

Perkhidmatan kewangan, perdagangan, telekomunikasi, teknologi maklumat, pendidikan, kesihatan dan pentadbiran awam tertumpu terutamanya di Athens dan Thessaloniki. Pelabuhan Piraeus dan Thessaloniki menjadi pintu masuk perdagangan ke Balkan dan Eropah Tengah. Tenaga pula mengalami peralihan daripada pergantungan sejarah pada lignit dan bahan api import kepada penggunaan tenaga suria, angin serta sambungan elektrik serantau yang lebih besar.

Pelancongan dan perkapalan

[sunting | sunting sumber]
Pemandangan udara Pelabuhan Piraeus
Pelabuhan Piraeus merupakan pelabuhan utama Athens dan antara pusat perkapalan terpenting negara.

Pelancongan merupakan sumber penting pendapatan luar, pekerjaan dan pelaburan. Tarikan utama merangkumi tapak arkeologi, bandar bersejarah, pulau, kawasan pantai, gunung dan warisan keagamaan. Bank Yunani merekodkan penerimaan perjalanan sebanyak €23.6268 bilion pada 2025, meningkat 9.4% berbanding 2024.[31] Kebergantungan pada musim panas mewujudkan tekanan terhadap air, perumahan, pengangkutan dan ekosistem di destinasi yang sangat dikunjungi.

Perkapalan saudagar mempunyai kedudukan luar biasa besar berbanding saiz ekonomi negara. Pemilik kapal Yunani mengawal salah satu bahagian terbesar kapasiti armada dunia, terutama kapal tangki dan kapal pukal. UNCTAD menyenaraikan Yunani bersama China dan Jepun sebagai tiga ekonomi pemilik kapal yang secara gabungan mengawal lebih 40% kapasiti armada dunia pada 2025.[32]

Demografi

[sunting | sunting sumber]

Penduduk dan petempatan

[sunting | sunting sumber]
Persisiran Thessaloniki pada awal pagi
Persisiran Thessaloniki, bandar kedua terbesar di Yunani.

Banci Penduduk dan Perumahan 2021 merekodkan 10,482,487 penduduk tetap di Yunani, berkurang 3.1% daripada 10,816,286 orang pada 2011.[33] Pada 1 Januari 2025, Pihak Berkuasa Statistik Yunani (ELSTAT) menganggarkan jumlah penduduk sebanyak 10,372,335 orang. Sepanjang 2024, negara itu mencatat 68,309 kelahiran dan 125,873 kematian, menghasilkan susut semula jadi sebanyak 57,564 orang. Migrasi bersih sebanyak 54,135 orang hampir mengimbangi penyusutan tersebut. Pada awal 2025, penduduk berumur 65 tahun ke atas membentuk 23.7% daripada jumlah penduduk, berbanding 12.8% yang berumur bawah 15 tahun, sekali gus mencerminkan proses penuaan penduduk yang berterusan.[5]

Taburan penduduk tertumpu kuat di kawasan bandar. Dalam banci 2021, Attika, yang merangkumi kawasan metropolitan Athens dan Piraeus, mempunyai 3,814,064 penduduk atau 36.4% daripada jumlah penduduk negara. Makedonia Tengah, dengan Thessaloniki sebagai pusat bandar utamanya, mempunyai 1,795,669 penduduk atau 17.1%. Athens merupakan perbandaran berpenduduk paling ramai, diikuti oleh Thessaloniki, manakala pusat bandar utama lain termasuk Patras, Heraklion, Piraeus, Larissa, Volos dan Ioannina.[33]

Perubahan penduduk berbeza dengan ketara mengikut wilayah. Antara 2011 dengan 2021, hanya Aegea Selatan yang mencatat pertambahan ketara, sebanyak 6.1%, sementara penduduk Crete meningkat sebanyak 0.2%. Kesemua wilayah lain mengalami penyusutan, termasuk Attika sebanyak 0.4% dan Makedonia Tengah sebanyak 4.6%. Penurunan paling besar berlaku di Makedonia Barat, sebanyak 10.3%.[33]

Diaspora Yunani terbentuk melalui beberapa gelombang penghijrahan, termasuk migrasi buruh selepas Perang Dunia Kedua dan penghijrahan profesional semasa krisis hutang pemerintah Yunani. Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), lebih daripada 800,000 orang kelahiran Yunani tinggal di negara-negara OECD pada 2020–2021. Komuniti terbesar tertumpu di Jerman, Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Kanada, walaupun corak migrasi mutakhir semakin beralih ke Eropah Utara dan Barat.[34]

Sebaliknya, sejak 1990-an Yunani turut berkembang sebagai negara destinasi bagi pendatang, terutama dari Eropah Tengah dan Timur, dan kemudiannya dari Asia, Afrika serta Timur Tengah.[35] Kedudukannya di sempadan luar Kesatuan Eropah dan berhampiran laluan Mediterranean Timur turut menjadikan pengurusan sempadan, penerimaan pencari suaka, perlindungan antarabangsa dan penyepaduan migran sebagai bidang dasar awam yang penting.[36]

Bahasa dan agama

[sunting | sunting sumber]

Bahasa Yunani moden ialah bahasa rasmi negara dan bahasa utama dalam pentadbiran, pendidikan, media serta kehidupan awam.[37] Bahasa ini ditulis menggunakan abjad Yunani dan merupakan hasil kesinambungan sejarah bahasa Yunani dari zaman purba hingga zaman moden. Walaupun bahasa Yunani standard menguasai ruang rasmi, ragam serantau dan dialek tradisional terus wujud, termasuk ragam utara, kepulauan dan Tsakonia, tetapi penggunaan sebahagiannya semakin menyusut.[38]

Selain bahasa Yunani, beberapa bahasa komuniti sejarah digunakan secara setempat. Antaranya ialah Arvanitika, suatu ragam Albania yang secara tradisinya dituturkan di sebahagian Attika, Boeotia dan Peloponnesos; Aromania atau Vlach; bahasa Turki; serta beberapa ragam Slavik Selatan di utara negara. Penghijrahan mutakhir turut menambah bilangan bahasa yang digunakan dalam lingkungan keluarga dan komuniti.[39]

Gereja Ortodoks Timur mempunyai pengaruh sejarah yang besar terhadap identiti dan kebudayaan negara. Perkara 3 Perlembagaan Yunani menyifatkan agama Gereja Ortodoks Timur sebagai agama “utama” (prevailing religion) di Yunani. Pada masa yang sama, Perkara 13 menjamin kebebasan hati nurani beragama dan kebebasan beribadat bagi semua agama yang diketahui, tertakluk pada ketenteraman awam dan undang-undang.[40] Komuniti agama lain termasuk umat Islam, Katolik, Protestan dan Yahudi. Minoriti Muslim yang tertumpu di Thrace Barat merupakan salah satu komuniti yang haknya dilindungi di bawah Perjanjian Lausanne 1923.[41]

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]
Bangunan utama Universiti Kebangsaan dan Kapodistria Athens
Bangunan utama Universiti Kebangsaan dan Kapodistria Athens di pusat Athens.

Pendidikan wajib berlangsung selama 11 tahun dan bermula pada usia empat tahun. Struktur tersebut merangkumi dua tahun pendidikan prasekolah, enam tahun sekolah rendah dan tiga tahun sekolah menengah rendah. Pendidikan menengah atas tidak diwajibkan dan biasanya berlangsung selama tiga tahun, sama ada melalui sekolah menengah umum (GEL) atau sekolah menengah vokasional (EPAL).[42]

Kemasukan ke kebanyakan program ijazah pertama di institusi pendidikan tinggi awam ditentukan terutamanya melalui keputusan peperiksaan Panhellenik kebangsaan pada akhir pendidikan menengah atas. Pemohon dinilai berdasarkan syarat kemasukan minimum dan markah mata pelajaran yang berkaitan dengan bidang pengajian pilihan mereka.[43] Antara institusi pendidikan tinggi negara ialah Universiti Kebangsaan dan Kapodistria Athens, Universiti Aristotle Thessaloniki dan Universiti Teknikal Kebangsaan Athens.

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Sistem kesihatan Yunani ditadbir secara berpusat dan menggabungkan Sistem Kesihatan Kebangsaan dengan pembiayaan daripada hasil pemerintah serta caruman wajib. Pertubuhan Kebangsaan bagi Penyediaan Perkhidmatan Kesihatan (EOPYY) bertindak sebagai pembeli utama perkhidmatan daripada penyedia awam dan swasta. Hospital awam menyediakan sebahagian besar rawatan pesakit dalam, manakala sektor swasta memainkan peranan yang besar dalam rawatan pesakit luar dan perkhidmatan diagnostik.[44]

Jangka hayat ketika lahir mencapai 81.9 tahun pada 2024, sedikit melebihi purata Kesatuan Eropah. Walau bagaimanapun, pembiayaan awam hanya merangkumi 61% daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan pada 2023, manakala bayaran terus oleh isi rumah membentuk 34%, jauh melebihi purata Kesatuan Eropah sebanyak 16%. Dalam kalangan mereka yang melaporkan memerlukan rawatan perubatan pada 2024, sebanyak 21.9% menyatakan bahawa keperluan tersebut tidak dipenuhi kerana kos, masa menunggu atau jarak perjalanan. Penuaan penduduk, perbezaan akses mengikut pendapatan dan lokasi, serta taburan kemudahan dan tenaga kesihatan yang tidak sekata kekal sebagai cabaran utama sistem kesihatan.[44]

Pengangkutan dan prasarana

[sunting | sunting sumber]

Rangkaian jalan raya ialah pengangkutan darat utama dan telah diperluas melalui lebuh raya yang menghubungkan Athens dengan Thessaloniki, Patras, Epiros dan sempadan utara. Jambatan Rio–Antirrio merentasi Teluk Korinthos dan menghubungkan Peloponnesos dengan Yunani Barat. Bentuk muka bumi bergunung-ganang dan kepulauan menyebabkan kos pembinaan serta penyelenggaraan prasarana berbeza besar antara wilayah.

Jambatan kabel Rio-Antirrio merentasi Teluk Korinthos
Jambatan Rio–Antirrio menghubungkan Peloponnesos dengan tanah besar Yunani merentasi Teluk Corinth.

Rangkaian kereta api berpusat pada koridor Piraeus–Athens–Thessaloniki dan sambungannya ke Makedonia, Thrake serta negara jiran. Organisasi Kereta Api Yunani (OSE) mengurus prasarana rel negara, sementara perkhidmatan penumpang dan barang dikendalikan oleh pengendali berlesen.[45] Athens mempunyai sistem metro, kereta api pinggir bandar, trem dan bas, manakala Thessaloniki mempunyai sistem metro serta rangkaian bas.

Kereta api Metro Athens di sebuah stesen
Kereta api dalam rangkaian Metro Athens.

Pengangkutan laut sangat penting bagi penyatuan wilayah kepulauan. Laluan feri beroperasi dari Piraeus, Rafina, Lavrio, Thessaloniki, Patras, Igoumenitsa dan pelabuhan wilayah ke pulau-pulau serta negara jiran. Pelabuhan Piraeus ialah pelabuhan penumpang dan kontena utama, manakala Thessaloniki berfungsi sebagai pintu masuk perdagangan Balkan. Lapangan Terbang Antarabangsa Athens merupakan hab udara terbesar, disokong oleh lapangan terbang Thessaloniki, Heraklion, Rhodes, Corfu dan lapangan terbang pulau lain yang menerima permintaan bermusim tinggi.

Prasarana tenaga dan komunikasi menghubungkan tanah besar dengan banyak pulau melalui kabel dasar laut, talian elektrik dan rangkaian digital. Penyambungan pulau kepada grid tanah besar bertujuan mengurangkan pergantungan pada penjana bahan api tempatan dan memudahkan penggunaan tenaga boleh baharu.

Warisan, seni dan kesusasteraan

[sunting | sunting sumber]
Biara Ortodoks di atas formasi batu Meteora
Salah sebuah biara Ortodoks di Meteora, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Budaya Yunani terbentuk daripada lapisan prasejarah, klasik, Helenistik, Rom, Byzantium, Uthmaniyah dan moden. Warisan Yunani Purba mempunyai pengaruh luas terhadap falsafah, pemikiran politik, historiografi, teater, seni bina, matematik dan perubatan. Tokoh seperti Homeros, Herodotus, Thoukydides, Sokrates, Plato, Aristoteles, Aeskhylos, Sophokles dan Euripides terus dipelajari dalam tradisi ilmu sedunia.

Warisan Byzantium menonjol dalam seni ikon, mozek, seni bina gereja, muzik liturgi dan tradisi Ortodoks. Seni rakyat, muzik, tarian dan pakaian pula berbeza mengikut wilayah, pulau serta sejarah tempatan. Pada zaman moden, penyair Dionysios Solomos menulis puisi yang menjadi asas lagu kebangsaan, sementara Constantine P. Cavafy, George Seferis dan Odysseas Elytis memperoleh pengaruh antarabangsa. Seferis dan Elytis masing-masing menerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan.

Setakat Ogos 2026, Yunani mempunyai 21 tapak dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO, termasuk Akropolis Athens, Delphi, Olympia, Mykenai dan Tiryns, Meteora, Gunung Athos, bandar zaman pertengahan Rodos, pusat istana Minoa dan kawasan Gunung Olympus.[46] Muzium Arkeologi Kebangsaan, Muzium Akropolis dan Muzium Budaya Byzantium menyimpan koleksi utama sejarah negara.

Salad Yunani dengan tomato, timun, bawang dan keju feta
Salad Yunani, hidangan yang menggunakan tomato, timun, bawang, buah zaitun dan keju feta.

Masakan Yunani ialah sebahagian tradisi makanan Mediterranean dan menggunakan minyak zaitun, bijirin, kekacang, sayur-sayuran, herba, buah, ikan, daging serta produk tenusu. Hidangan dan bahan berbeza mengikut wilayah: pulau menampilkan banyak makanan laut, kawasan gunung mempunyai tradisi daging dan keju, manakala Makedonia, Thrake, Kriti dan Asia Kecil menyumbangkan gaya serta rempah yang tersendiri. Hidangan lazim termasuk salad Yunani, fasolada, moussaka, souvlaki, pai berinti, yogurt dan pelbagai pencuci mulut berasaskan madu atau kacang.

Makan bersama, kedai kopi dan kedai makan kecil mempunyai peranan sosial yang penting. Wain telah dihasilkan sejak zaman purba, sementara ouzo, tsipouro dan raki Kriti ialah minuman beralkohol tradisional. Diet Mediterranean, yang merangkumi pengetahuan, amalan makanan dan tradisi sosial di beberapa negara termasuk Yunani, tercatat dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.[47]

Stadium Panathenaic di Athens dengan tempat duduk marmar
Stadium Panathenaic di Athens, tempat utama Sukan Olimpik moden pertama pada 1896.

Hubungan Yunani dengan sukan paling ketara melalui Sukan Olimpik Purba di Olympia. Athens menjadi tuan rumah Sukan Olimpik moden pertama pada 1896 dan sekali lagi menganjurkan Sukan Olimpik pada 2004. Api Olimpik secara tradisi dinyalakan di Olympia sebelum dihantar ke bandar tuan rumah.

Bola sepak dan bola keranjang ialah sukan berpasukan paling popular. Pasukan bola sepak kebangsaan memenangi UEFA Euro 2004, manakala kelab serta pasukan kebangsaan bola keranjang mencapai kejayaan Eropah. Sukan lain termasuk polo air, olahraga, pelayaran, renang, angkat berat dan tenis. Bentuk muka bumi serta pesisir negara juga menyokong pendakian, sukan air dan kegiatan luar.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. 1 2 "Environment" (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Foreign Affairs of the Hellenic Republic. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  2. 1 2 "Income Inequality, 2025" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Hellenic Statistical Authority. 19 Mac 2026. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  3. 1 2 "Human Development Report 2025: Human Development Index and its components" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 2025. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  4. 1 2 "Human Development Index trends, 1990–2023" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 2025. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  5. 1 2 "Estimated Population (1.1.2025) and Migration Flows (2024)" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Hellenic Statistical Authority. 18 Disember 2025. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  6. "2021 Population-Housing Census: Resident population results" (dalam bahasa Inggeris). Hellenic Statistical Authority. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  7. 1 2 "On this day: The London Protocol of 1830 and the establishment of the Greek State" (dalam bahasa Inggeris). Greek News Agenda. 3 Februari 2021. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  8. "Greece and NATO" (dalam bahasa Inggeris). Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  9. 1 2 "Greece – EU country" (dalam bahasa Inggeris). Kesatuan Eropah. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  10. Wilkinson, Richard James (1932). "Yunan, Yunani". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 654.
  11. Mahardhika Zifana (26 Julai 2013). "Kenapa Egypt jadi Mesir, Greece jadi Yunani, dan Netherland jadi Belanda?". Kompasiana. Dicapai pada 1 Jun 2020.
  12. Lindner, Rudi Paul (2007). Explorations in Ottoman Prehistory. Michigan: University of Michigan Press. m/s. 19. ISBN 978-0-47209-507-0. The name "Yunan" comes from Ionia; cf. Old Persian "Yauna" (...)
  13. Waters, Matt (2014). Ancient Persia: A Concise History of the Achaemenid Empire, 550–330 BCE. Cambridge: Cambridge University Press. m/s. 173. ISBN 978-1-10700-9-608.
  14. 1 2 3 "History" (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Foreign Affairs of the Hellenic Republic. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  15. Clogg, Richard (2013). A Concise History of Greece (ed. 3). Cambridge University Press.
  16. "The Truman Doctrine, 1947". Office of the Historian (dalam bahasa Inggeris). United States Department of State. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  17. 1 2 3 "The Constitution of Greece" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Parlimen Yunani. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  18. 1 2 "IMF Executive Board Concludes 2026 Article IV Consultation with Greece" (dalam bahasa Inggeris). Tabung Kewangan Antarabangsa. 27 Mei 2026. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  19. "Villages on Mt Olympus" (dalam bahasa Inggeris). Greek National Tourism Organisation. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  20. "Greek Islands" (dalam bahasa Inggeris). Greek National Tourism Organisation. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  21. "The climate of Greece" (dalam bahasa Inggeris). Hellenic National Meteorological Service. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  22. "Greece: Europe's environment 2025" (dalam bahasa Inggeris). Agensi Alam Sekitar Eropah. 2025. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  23. "National Climate Law (Law 4936/2022)". Climate Change Laws of the World (dalam bahasa Inggeris). Grantham Research Institute on Climate Change and the Environment. 2022. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  24. "The President of the Hellenic Republic" (dalam bahasa Inggeris). Presidency of the Hellenic Republic. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  25. "The Prime Minister: Kyriakos Mitsotakis" (dalam bahasa Inggeris). Prime Minister of the Hellenic Republic. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  26. "The President of the Hellenic Parliament" (dalam bahasa Inggeris). Parlimen Yunani. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  27. "Greece: Parliamentary elections, 25 June 2023" (dalam bahasa Inggeris). Kesatuan Antara Parlimen. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  28. 1 2 "Structure and Operation of Local and Regional Democracy in Greece" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Ministry of the Interior of the Hellenic Republic. 2024. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  29. "Greece in Figures, January–March 2023" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Hellenic Statistical Authority. 2023. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  30. "World Economic Outlook Database, April 2026: Greece" (dalam bahasa Inggeris). Tabung Kewangan Antarabangsa. April 2026. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  31. "Developments in the balance of travel services: 2025" (dalam bahasa Inggeris). Bank Yunani. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  32. "Review of Maritime Transport 2025" (dalam bahasa Inggeris). Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 2025. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  33. 1 2 3 Greece in Figures: April–June 2025 (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). Hellenic Statistical Authority. 2025. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  34. OECD (2026). A Review of Greek Emigrants (Laporan). Talent Abroad (dalam bahasa Inggeris). Paris: OECD Publishing. doi:10.1787/729f06a5-en. |access-date= requires |url= (bantuan)
  35. Migration in Greece: A Country Profile 2008 (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). International Organization for Migration. 2008. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  36. "Migration management in Greece" (dalam bahasa Inggeris). European Commission. 29 Januari 2025. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  37. "Greece – EU country" (dalam bahasa Inggeris). European Union. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  38. "Modern Greek Dialects" (dalam bahasa Inggeris). Academy of Athens. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  39. Trudgill, Peter. "Modern Greek Dialects" (dalam bahasa Inggeris). Centre for the Greek Language. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  40. The Constitution of Greece (PDF) (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). Hellenic Parliament. m/s. 25, 33. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  41. "Freedom of religion and other human rights for non-Muslim minorities in Turkey and for the Muslim minority in Thrace (eastern Greece)". Resolution 1704 (2010) (dalam bahasa Inggeris). Parliamentary Assembly of the Council of Europe. 27 Januari 2010. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  42. "Organisation of the education system and of its structure". Eurydice (dalam bahasa Inggeris). European Education and Culture Executive Agency. 24 September 2025. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  43. "Types of higher education institutions". Eurydice (dalam bahasa Inggeris). European Education and Culture Executive Agency. 31 Mac 2026. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  44. 1 2 OECD/European Observatory on Health Systems and Policies (2025). Country Health Profile 2025: Greece (PDF) (Laporan). State of Health in the EU (dalam bahasa Inggeris). Paris: OECD Publishing. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  45. "OSE: The Greek Railway Infrastructure Manager" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Hellenic Railways Organisation. 2026. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  46. "Greece" (dalam bahasa Inggeris). Pusat Warisan Dunia UNESCO. Dicapai pada 1 Ogos 2026.
  47. "Mediterranean diet" (dalam bahasa Inggeris). Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO. Dicapai pada 1 Ogos 2026.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]